MAYAT Mohammad Firdaus (gambar kecil) dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.  FOTO Nor Amalina Alias
MAYAT Mohammad Firdaus (gambar kecil) dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“BE, be (Abe) aku lemas.” Itu jeritan terakhir remaja, Mohammad Firdaus Ismail ,15, yang sempat dirakam rakannya sebelum lemas di sungai Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, hari ini.

Mayat ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat 9.09 malam tadi, kira-kira 11 meter daripada lokasi kejadian, selepas lebih dua jam hilang.

Mangsa dikatakan keluar berjoging bersama abangnya, Mohammad Ezri Syam, 17, dan dua rakannya, kira-kira 6 petang petang hari ini sebelum mereka cuba menyeberangi sungai sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, ketika mereka menyeberang sungai itu, mangsa secara tiba-tiba lemas.

“Dalam rakaman video menunjukkan, mangsa bersama abang dan rakannya turun ke dalam sungai, manakala seorang lagi rakan sedang membuat rakaman video.

“Mangsa dan rakannya dipercayai baru saja turun ke sungai sebelum dia menjerit mengatakan lemas.

“Rakan dan abangnya kemudian menghubungi bomba dan ahli keluarga untuk menyelamatkan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian 7.20 malam sebelum pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari mangsa dijalankan menggunakan kaedah carian dasar ‘grapite iron’ dan tidak lama kemudian, kita berjaya menemui mangsa pada kedalaman tiga meter,” katanya.

“Mayat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:41 PM