FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Penganalisis dan pemerhati politik menyifatkan 'Gelombang Hijau' menjadi antara faktor utama penyumbang kepada kekalahan beberapa 'giant' dan 'warlord' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Prof Dr P Sivamurugan berkata, senario yang dianggap sebagai tsunami pengundi Melayu itu juga menyumbang kepada kebangkitan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang walaupun baru sahaja tewas di gelanggang Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Mengulas lanjut, katanya, ramai melihat blok gabungan PN yang wujud sebagai satu wadah pilihan alternatif ke atas gabungan blok politik Kerajaan Perpaduan.

Namun, beliau turut berpendapat 'Gelombang Hijau' juga menyumbang kepada kekalahan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam saingan merebut kerusi DUN Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Walaupun PN cuba dengan meletakkan calon bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu, kekalahan Dominic yang juga ketua utama parti Gerakan turut disumbangkan oleh sabotaj dalaman yang tidak menerima beliau sebagai calon di kerusi terbabit.

"Akar umbi Pas tidak merestui Dominic diletakkan sebagai calon di situ sehingga wujudnya sabotaj berkenaan," katanya.

Beliau turut ditanya apa perlu Umno lakukan selepas jelas hilang majoriti sokongan orang Melayu apabila hanya menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Menurutnya, Umno perlu melihat semula mengapa prestasi mereka tidak berubah pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Umno perlu melihat mengapakah prestasi mereka tidak berubah dan menilai serta melaksanakan pembaharuan dalaman yang perlu dibuat untuk menilai gerak kerja baharu.

"Ini kerana dengan keahlian 3.5 juta, Umno masih parti siasah orang Melayu. Persoalan utama perlu dijawab dan diperhalusi, apa langkah sudah dilakukan yang membawa kepada keupayaan sekadar menang 19 kerusi berbanding 108 ditandingi?

"Dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang baharu lapan bulan pula, untuk menghadapi masa depan termasuk pilihan raya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memperhalusi pelan tindakan yang perlu dilakukan untuk memenangi sokongan khususnya dalam kalangan orang Melayu kerana memang jelas sokongan pengundi bukan Melayu kekal dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan Penganalisis Politik dan Penasihat Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang berpendapat, kekalahan 'top giant' khususnya dari blok Kerajaan Perpaduan berpunca daripada penolakan pengundi terhadap Umno atau parti gabungan PH-BN.

Katanya, dalam konteks Terengganu, faktor parti mendominasi dan mempengaruhi pengundi adalah tinggi berbanding calon.

"Kemenangan Pas dengan 32-0 membuktikan seolah-olah berlaku tsunami sokongan pengundi Melayu khususnya kepada PN.

"Kerjasama Umno dengan DAP misalnya masih belum diterima secara baik oleh akar umbi walaupun ada usaha menjelaskan kerjasama itu.

"Kita tidak menafikan misalnya dua bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang tewas adalah tokoh politik yang berpengalaman.

"Namun sudah tiba masanya Umno melihat muka baharu yang lebih serius. 'Giant killer' yang mengalahkan mereka dilihat lebih berpunca daripada penolakan pengundi kepada parti dan gabungan parti, tidak semestinya kekuatan calon sepenuhnya.

"Namun dalam konteks di Selangor, kejayaan Azmin dipengaruhi oleh kekuatan calon selain pengaruh PN yang semakin melebar dalam kalangan pengundi Melayu," katanya.

"Selain itu, katanya, kewujudan Gerakan dalam PN tidak membantu blok gabungan itu malah kepada parti Gerakan juga kerana PN lebih fokus pengundi Melayu," katanya.

Bagi penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata 'Gelombang Hijau' dibawa Pas jelas menyebabkan tewasnya calon 'giant'.

"Kalau kita lihat giant atau pun top man Umno yang tewas seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid (Pengerusi BN Kedah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah) dan dua bekas Menteri Terengganu itu adalah dapat difahami kerana di Terengganu gelombang dibawa Pas, sama juga di Kedah, Pas adalah terlalu dominan.

"Jadi ini dikatakan bahawa apabila Pas di dalam negeri itu terlalu kuat maka penentangnya walaupun berstatus 'warlord' termasuk Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar yang 'tumbang' di negeri itu, sebenarnya tidaklah mengejutkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 2:53 PM