TAJUDDIN gesa UMNO dan PAS bergabung. FOTO/FAIL
TAJUDDIN gesa UMNO dan PAS bergabung. FOTO/FAIL
Razif Rosli


AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya UMNO dan PAS bergabung bagi membentuk kuasa Melayu lebih kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, hanya UMNO dan PAS yang boleh dikatakan sebagai parti politik Melayu dan perlu menubuhkan satu blok baharu yang kuat.

Katanya, walaupun mengakui kedua-dua parti itu mempunyai pertentangan dalam beberapa aspek namun ada beberapa persamaan pada asas perjuangannya.

“€œKedua-dua parti ini meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan parti.

"Oleh itu kita yakin gabungan ini mampu memberi cabaran kepada kerajaan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang menghina kaum dan agama.

“€œSaya nampak jika gabungan ini berjaya maka kepentingan umat Islam akan terus terbela. Jika tidak bersama, maka sukar nak hadapi tentangan lawan,”€ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Pasir Salak, Pasir Salak, semalam.

Tajuddin berkata, realiti yang berlaku ialah UMNO dan PAS mendapat sokongan besar daripada pengundi Melayu dalam sejarah politik Malaysia.

“€œUMNO kena mengubah strategi dengan mencari rakan seperjuangan, malah perlu lebih cekap dalam menggunakan kaedah baharu selepas apa yang berlaku pada PRU-14.

“€œJika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya lawan Pakatan Harapan (PH), tetapi jika melihat kemenangan kerusi PAS dan UMNO itu sendiri di negeri mahupun pusat, dua parti ini sebenarnya boleh menjadi gabungan kuat,”€ katanya.

Tajuddin berkata, kerjasama berlaku di antara dua parti politik orang Melayu itu kelak akan mampu membina kekuatan sebenar politik Melayu dan juga kestabilan politik negara secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 2:13 PM