Ariffin tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke gerainya terletak bersebelahan pusat mengundi. - FOTO NSTP/Samadi Ahmad
Ariffin tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke gerainya terletak bersebelahan pusat mengundi. - FOTO NSTP/Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Kajang: Hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap sebagai 'durian runtuh' bagi seorang peniaga apabila tidak menang tangan melayan pelanggan yang berkunjung ke gerainya terletak bersebelahan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Leftenan Adnan, Sungai Ramal Luar di sini.

Ariffin Mohd Noor, 56, berkata, sejak dibuka jam 7 pagi tadi, pelanggan tidak putus-putus datang selepas selesai mengundi.

Menurutnya, antara hidangan paling laris hari ini adalah teh tarik, bihun goreng serta nasi lemak berlauk sambal paru dan ayam goreng yang disediakan lebih banyak dari hari biasa.

"Rezeki PRN. Sebelum ini, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sambutan di luar dugaan dan keuntungan juga meningkat," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang mengusahakan gerai itu sejak 10 tahun lalu berkata, memandangkan banyak makanan sudah habis dijual, gerainya akan ditutup lebih awal.

"Selepas menutup gerai, barulah saya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 10:50 AM