Bendera-bendera parti bertanding yang dipasang di sepanjang jalan di Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Bendera-bendera parti bertanding yang dipasang di sepanjang jalan di Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Johor Bahru: Sebelum kempen pilihan raya menutup tirai menjelang tengah malam Jumaat ini, calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memanfaatkan kebenaran tempoh berkempen sehingga lewat malam dengan menampilkan pelbagai strategi bagi mendekati pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dengan membenarkan ceramah, syarahan dan kempen hingga 12 tengah malam berbanding sehingga 10 malam sebelumnya.

Bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani daripada Perikatan Nasional (PN) Ahmad Nawfal Mahfodz, beliau mengadakan dan menyertai pertandingan futsal pada waktu malam kerana ia aktiviti yang digemari anak muda bagi mengisi masa lapang mereka pada waktu malam.

Selain kempen rumah ke rumah, program seperti aktiviti futsal itu akan membolehkan beliau mendekati masyarakat serta mengetahui keperluan dan masalah berbangkit mereka.

"Kempen hingga larut malam ini memang kelebihan buat semua yang bertanding, kerana kita ada lebih masa dan dapat bertemu lebih ramai pengundi," kata Ketua Pemuda PN Johor berumur 38 tahun itu.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata parti-parti politik mempunyai masa lebih panjang untuk berkempen apabila SPR melanjutkan tempoh berkempen sehingga 12 tengah malam.

"Di sebelah malam biasanya pengundi mempunyai masa, kerana pada waktu siang mereka bekerja. Parti politik yang bertanding perlu kreatif menggunakan kesempatan masa yang ada ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program," katanya.

Bagaimanapun, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kempen rumah ke rumah atau secara bersemuka masih menjadi kaedah terbaik untuk menarik sokongan pengundi.

"Ia lebih berkesan kerana ia ada sentuhan hati ke hati. Kaedah lama ini masih lagi relevan kerana pengundi akan lebih mengenali calon bertanding apabila mereka sendiri bertemu dengan calon dan mengenali perwatakan mereka dengan lebih dekat," katanya.

Sementara calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad mengambil peluang mendekati golongan muda pada waktu malam dengan mengadakan program sukan elektronik (e-sukan) seperti kejohanan PUBG.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) berkata meskipun ia dianjurkan pada waktu pilihan raya, namun ia boleh menjadi "serampang dua mata" dalam mencungkil bakat baharu dalam e-sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

PRN Johor pada Sabtu ini membabitkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN. Seramai 2,597,742 pengundi adalah layak mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 12:07 PM