SUKU ketiga tahun ini menyaksikan kelahiran seramai 56,572 bayi lelaki dan 52,825 bayi wanita. FOTO BERNAMA
SUKU ketiga tahun ini menyaksikan kelahiran seramai 56,572 bayi lelaki dan 52,825 bayi wanita. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kelahiran hidup pada suku ketiga 2022 menurun tiga peratus kepada 109,397 berbanding 112,776 pada suku ketiga 2021, menurut Perangkaan Demografi Malaysia Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan, suku ketiga tahun ini menyaksikan kelahiran seramai 56,572 bayi lelaki dan 52,825 bayi wanita.

Selangor mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 22,260 kelahiran atau 20.3 peratus manakala Labuan merekodkan kelahiran terendah dengan 376 kelahiran atau 0.3 peratus.

Pada suku ketiga 2022, sejumlah 50,276 kematian dicatatkan, merosot 31.7 peratus berbanding suku ketiga 2021 dengan kematian lelaki berjumlah 28,533 manakala 21,743 bagi perempuan.

Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 7,744 kematian atau 15.4 peratus manakala Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 58 kematian (0.1 peratus).

Menurut kenyataan itu, sebanyak 597 kematian adalah berkaitan Covid-19 yang menyumbang 1.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian pada suku ketiga tahun ini.

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.9 juta pada suku ketiga 2022, meningkat 0.9 peratus berbanding 32.6 juta pada suku ketiga tahun lalu.

Tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi ialah Selangor dengan 21.6 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.4 peratus).

"Penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.3 juta berbanding suku ketiga 2021 manakala perempuan menokok daripada 15.5 juta kepada 15.6 juta dalam tempoh sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 1:54 PM