GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berharap kerajaan memantau sebarang pergerakan harga baja dan racun susulan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan mulai hari ini.

Pengerusi Pesawah, Mohd Fuad Yaacob berkata, adalah dibimbangi pihak pengedar atau pengeluar racun dan baja turut mengambil kesempatan menaikkan harga barang itu.

Katanya, jika subsidi bertambah namun barangan berkaitan pertanian naik jadi menyebabkan golongan petani seolah-olah tak dapat apa-apa sebaliknya pihak lain yang memperoleh manfaatnya.

"Justeru, kita minta kerajaan atau pun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan panggil pihak pengedar atau pengeluar racun dan baja berbincang untuk menetapkan satu harga yang standard.

"Tak mencapai objektif membantu petani apabila naik subsidi ia diikuti kos pengeluaran pun naik. Jadi petani ini seperti mendapat imbuhan yang diagihkan kepada pihak lain seperti pihak menaikkan harga racun, baja dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar yang mengusahakan sawah di Megat Dewa, Kodiang, Kedah, berkata memang berita gembira buat pesawah seluruh negara di atas kenaikan kadar subsidi SSHP itu.

Namun, katanya, semoga pihak lain tidak mengambil kesempatan di atas kenaikan kadar subsidi itu kerana pesawah seluruh negara sudah mengalami kerugian hampir dua tahun atau tiga musim kebelakangan.

"Kerugian dialami kebelakangan antaranya disebabkan faktor cuaca dan sebagainya selepas pandemik Covid-19 berakhir.

"Kami pesawah merayu supaya sewa tanah pengusaha jentuai, jentera pembajak, pengusaha lori, pengusaha dron serta kedai input pertanian tidak menaikkan sebarang kos tambahan lagi buat masa ini.

"Simpatilah pesawah mengalami kerugian serta ada tergadai tanah dalam usaha mereka demi kelangsungan hidup yang perlu diteruskan. Bagi pesawah, semoga kita berlapang dada menerima bantuan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 2:43 PM