FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Langkah kerajaan mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Padi (SSHP) dari RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan disambut baik oleh pesawah di negeri ini.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Che Ani Mat Zain berkata, kenaikan itu dapat menampung kos petani mengusahakan sawah kerana selama ini terpaksa menanggung kenaikan racun, baja dan jentera.

Menurutnya, ia adalah antara janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Alhamdulillah, syukur kerana sebelum ini kami (pesawah) ada macam-macam masalah termasuk kartel dan sebagainya.

"Dengan pemberian ini, bermakna dia (Anwar) tunaikan janjinya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan Perdana Menteri mengumumkan kenaikan kadar SSHP dari RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 5:34 PM