AHMAD Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP
Rahmat Khairulrijal

Kuala Lumpur: Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini tidak lagi mengendalikan kes berkenaan.

Terdahulu, Raja Rozela mengetuai pendakwaan, di mana Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, NST melaporkan bahawa perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

NST kemudian mengesahkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya itu dikeluarkan daripada mengendalikan kes berkenaan.

Sumber mengatakan bahawa beliau tidak lagi bersama pasukan pendakwaan, namun tidak memaklumkan alasan disebalik tindakan itu.

Cubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harus dan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya yang terbabit dalam perbicaraan itu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, bagaimanapun gagal.

Sementara itu, Raja Rozela ketika dihubungi, enggan untuk memberi sebarang komen.

"Saya adalah penjawat awam… Saya tidak dibenarkan untuk memberi komen. Minta maaf," katanya.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana yayasn berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika membela diri pada 22 Mei tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:02 PM