AHMAD Zahid Hamidi.
AHMAD Zahid Hamidi.
BERNAMA

PERBICARAAN ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan disambung pada 13 April.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Rozela Raja Toran yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan itu memberitahu perkara berkenaan kepada Bernama menerusi pesanan mesej WhatsApp.

“Perbicaraan itu akan disambung semula pada 13 April tetapi tertakluk kepada sebarang lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan,” katanya.

Setakat ini, pihak pendakwa sudah memanggil 43 saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan itu.

Raja Rozela berkata, pihak pendakwa dijangka memanggil lebih 30 saksi lagi.

Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan susulan penutupan mahkamah seiring dengan penguatkuasaan PKP oleh kerajaan dari 18 hingga 31 Mac bagi membendung Covid-19.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dijadual pada jam 9 pagi, pada 13 April.

Zahid, 67, berhadapan dengan 47 pertuduhan, termasuk 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan atas rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta Ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 12:21 PM