Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir bagi hujahan akhir pendakwaan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir bagi hujahan akhir pendakwaan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan bagi membolehkan anak perempuannya membeli saham butik hotel di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah bahawa tertuduh diamanahkan dengan dana Akalbudi bagi tujuan spesifik iaitu membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin selain menjalankan kajian serta penyelidikan.

Bagaimanapun, Raja Rozela berkata, tertuduh memberi arahan spesifik supaya kesemua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

"Ahmad Zahid kemudian mengeluarkan cek berjumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Aset Sdn Bhd bagi tujuan pembelian 60 peratus saham daripada Pengerusi Aset Ri-Yaz, Tan Sri Rashid Manaf.

"Individu yang berminat untuk membeli hotel berkenaan adalah anak perempuan tertuduh dan perkara itu disahkan oleh Tan Sri Rashid dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohd Shaheen," katanya.

Raja Rozela kemudian bertanya: "Bagaimana menguruskan butik hotel di Indonesia membantu rakyat miskin di negara ini?"

"Dana dalam akaun Akalbudi digunakan untuk keuntungan peribadi tertuduh yang mana Akalbudi tidak mempunyai sebarang hubungan atau kepentingan.

"Bagi pengeluaran dana daripada tujuh akaun deposit tetap, cek bank RM17.9 juta itu dibayar kepada Lewis & Co," katanya.

Raja Rozela berkata, perkara itu sepatutnya sudah dilihat sebagai amaran.

"Kenapa dana itu dipindahkan, sedangkan tiada rekod yang menunjukkan bahawa Tetuan Lewis & Co bertindak untuk Akalbudi?

"Oleh itu, pendakwaan berhujah bahawa tujuan sebenar pengeluaran deposit tetap RM17.9 juta adalah bagi memudahkan anak perempuan tertuduh membeli hotel di Bali," katanya.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan bersambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:29 PM