Aplikasi Selangkah Biz mudah dan selamat digunakan - FOTO Hiasan
Aplikasi Selangkah Biz mudah dan selamat digunakan - FOTO Hiasan
Nurshafika Suhaimi

DENGAN kerjasama peneraju teknologi, Kiple melancarkan aplikasi mudah alih Selangkah Biz bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia beralih ke dunia perniagaan tanpa tunai.

Aplikasi ini bertujuan memastikan tahap keselamatan, terutama untuk peniaga ketika melakukan urusan transaksi harian.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Selangkah Biz memberikan insentif kepada peniaga bazar Ramadan hingga RM10,000 setiap hari untuk mereka yang menggunakan transaksi ini.

Lebih menarik, Kiple turut memberikan ganjaran kepada peniaga RM1 setiap transaksi dibuat melalui aplikasi dengan minimum pembelian pelanggan RM5 dalam satu transaksi.

Setiap peniaga boleh menuntut maksimum RM50 setiap hari dan berterusan sepanjang tempoh kempen iaitu dari 13 April hingga 12 Mei 2021 dengan syarat dan terma.

Sepanjang Ramadan ini, kempen promosi Selangkah BIZ telah dijalankan bagi golongan penjaja di lapangan.

Bermula dengan Laman Niaga Bangi pada minggu lalu, ia akan diteruskan di lokasi berlainan di sekitar Perbandaran Kajang.

Ini juga satu inisiatif mencipta transaksi selamat ketika pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SELANGKAH Ventures Sdn Bhd (SVSB), Tengku Iesta Tengku Alaudin, teknologi digital menjadi pilihan ramai usahawan di Malaysia bagi memastikan peniagaan mereka lancar.

"Sekarang musim perayaan di mana lebih banyak syarikat dan peniaga yang ingin menjalankan perniagaan mereka dengan selamat di musim pandemik ini. 

Kami berharap usahawan dapat memanfaatkan aplikasi dibangunkan kami selain mengembangkan perniagaan mereka lebih meluas"

Selain itu, peniaga juga boleh memantau jualan mereka secara keseluruhan melalui rekod transaksi dan menerima segala maklum balas daripada pelanggan.

Dengan aplikasi Selangkah Biz, peniaga menerima bayaran dalam bentuk e-dompet dari mana-mana platform e-dompet di Malaysia berbanding menggunakan banyak aplikasi khusus bagi tujuan sama. 

Inisiatif ini juga membantu PKS menjimatkan kos apabila mereka tidak perlu menyewa perkakasan khas untuk urusan transaksi kerana semua urusan hanya menggunakan telefon pintar. 

ImageKemudahan transaksi tanpa tunai bagi peniaga IKS & Mikro-FOTO Harian

Seiring dengan teknologi terkini, aplikasi Selangkah Biz membantu pemilik perusahaan mengembangkan perniagaan secara digital selain membolehkan orang ramai menggunakannya sebagai solusi keperluan digital dalam normal baharu ini.

Menurut pemilik syarikat Tan Pek Tong, pelanggan mereka lebih suka berurusan di platform pembayaran dalam talian seperti Alipay dan WeChat.

"Aplikasi ini sangat dipercayai dan stabil. Saya juga boleh menguruskan kewangan dengan bijak dan melihat rekod transaksi penjualan setiap hari. 

"Saya dapat melihat semua transaksi saya dalam sejarah urus niaga dan memberikan kemudahan kepada pelanggan saya dalam memilih pembayaran yang lebih selamat," katanya.

Dalam pada itu, menurut pemilik syarikat Iman Tijari Enterprise, Taufiq Amini, beliau mendapati hasil penjualannya rancak dengan menggunakan aplikasi Selangkah Biz.

"Pembayaran e-dompet menjadi sangat popular dalam kalangan pelanggan kami kerana mereka dapat membuat pembayaran dengan mudah.

"Aplikasi ini juga menjadikan urusan jual beli lebih murah selain dapat menguruskan kewangan syarikat tanpa masalah," katanya

Aplikasi Selangkah Biz boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan kelak di Apple App Store. 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini, layari laman sesawang rasmi Selangkah Biz atau emel ke biz.selangkah.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 1:38 PM