Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 221 kakitangan Kemas yang terkesan akibat banjir baru-baru ini menerima sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bantuan keseluruhan sebanyak RM44,200 dengan RM200 bagi setiap keluarga bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

"Sehingga kini, peruntukan sebanyak RM100,000 diperuntukkan YBR bagi membantu 500 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Selangor.

"Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat banjir dan diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung dan dapat mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kelab Kebajikan Sukan Kemas Daerah Klang bagi mengenalpasti keluarga yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda bagi memudahkan proses pengagihan bantuan.

Katanya, sumbangan yang sama juga turut disampaikan kepada mereka yang terkesan di sekitar Hulu Langat dan Serdang pada 13 dan 15 Januari lalu.

Bantuan diterima Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohd Yasid Bidi. Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Selangor, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan, Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Untuk tahun ini YBR memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik serta meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:56 PM