SYAIFUL Rizal (kiri) dan Jamaludin menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara dua agensi berkenaan - FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
SYAIFUL Rizal (kiri) dan Jamaludin menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara dua agensi berkenaan - FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited dalam meningkatkan integriti menerusi pemeteraian Laporan Khidmat Nasihat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Kembar Bank Rakyat, semalam.

Majlis pemeteraian itu dihadiri delegasi SPRM yang diketuai Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) selaku Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan Dan Perundingan (BPMP) SPRM Jamaludin Puteh, manakala YBR diwakili Pengurus Besar Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Jamaludin dalam kenyataan yang dikeluarkan YBR berkata pihaknya berpuas hati dengan hasil pemeriksaan terhadap sistem, amalan dan tatacara di YBR.

"SPRM juga mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memperkukuhkan lagi prosedur dan polisi pematuhan YBR, untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat," katanya.

Jamaludin turut mengucapkan tahniah atas komitmen yang telah diberikan oleh YBR, sepanjang sesi khidmat nasihat dijalankan sejak tahun lalu.

Berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang telah dijalankan oleh Wiki Impact, YBR disenaraikan di tangga ketiga tertinggi, di antara 32 yayasan terbaik di Malaysia.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata YBR mengalu-alukan cadangan SPRM bagi meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan YBR, ke arah perkhidmatan terbaik.

"YBR juga akan memberi fokus terhadap pematuhan polisi pada setiap masa, dalam membuat keputusan supaya ia telus dan tidak membuka ruang dan peluang kepada aktiviti rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 6:25 PM