LEBUHRAYA MEX. FOTO arkib NSTP
LEBUHRAYA MEX. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Maju Expressway Sdn Bhd memberikan sokongan penuh terhadap perlaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) bermula September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya MEX Halimi Ibrahim berkata, pihaknya menyokong inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai pembabitan lebuh raya berkenaan pada 28 Mac lalu.

"Seperti dimaklumkan dalam pengumuman itu, penggunaan kad debit atau kad kredit di lorong plaza tol adalah salah satu langkah persediaan peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLLF).

"Kami sedang membuat perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak lain yang berkaitan sebagai persediaan untuk menguji sistem pembayaran tol terbuka.

"Ia bagi memastikan inisiatif itu dapat dilaksanakan pada September nanti seperti yang disasarkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Halimi berkata, penambahan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna lebuh raya amat bertepatan untuk memudahkan golongan terbabit.

"Malah, ia dapat memastikan kecekapan proses pembayaran tol sekiranya pengguna lebuh raya tidak berkesempatan untuk menambah nilai kad Touch 'n Go atau Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) melalui aplikasi e-wallet atau di mana-mana kiosk berhampiran," katanya.

Berita berkaitan:

LLM sedia kerjasama dengan syarikat konsesi untuk pelaksanaan OPS

5 lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran terbuka

Sasar perkenal bayaran terbuka di Jambatan Pulau Pinang dan BKE, September ini

Bayar tol guna kad debit, kredit September Ini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 6:18 PM