NIK Nazmi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mydin Prihatin #Fortune. FOTO Genes Gulitah
NIK Nazmi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mydin Prihatin #Fortune. FOTO Genes Gulitah
Sri Ayu Kartika Amri dan Aqil Sharullizam


Subang Jaya: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menjangkakan negara memerlukan dana hampir RM400 bilion untuk menghadapi impak perubahan iklim yang semakin ekstrem untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, proses pembangunan yang dilalui berdekad lalu, kini memberi kesan kepada kelestarian bumi serta kehidupan manusia dan biodiversiti.

"Seperti mana laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), 98 peratus punca pemanasan global hari ini disebabkan pelepasan karbon dioksida yang berpunca daripada pembakaran bahan api fosil sejak abad ke-18 serta pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lain.

"Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan akibat fenomena ini dan dijangkakan, negara kita bakal memerlukan dana hampir RM400 bilion untuk menghadapi impak perubahan iklim ini," katanya di majlis pelancaran Mydin Prihatin #Forfuture di sini hari ini.

Mydin menerusi program Mydin Prihatin #forfuture komited untuk mencapai pengurangan sebanyak 15 peratus penggunaan tenaga dan pelepasan karbon serta mengurangkan pembaziran sisa bahan terbuang sebanyak 50 peratus.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menyeru semua pihak termasuk sektor swasta dan korporat untuk berganding bahu melalui jalinan kolaborasi yang strategik bagi menjayakan agenda tindakan iklim negara.

Katanya, tanggungjawab menangani impak perubahan iklim ini terletak pada kerjasama semua pihak, membabitkan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, pihak industri, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, akademik dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Seperti sektor swasta kumpulan ini sangat besar dalam ekonomi, sekiranya sektor swasta mengambil tindakan, impak kepada masyarakat sangat besar.

"Justeru, kerajaan menyokong sepenuhnya pelaksanaan amalan kelestarian oleh sektor swasta melalui penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 5:24 PM