DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini.

"Selain itu, aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada 2050. Pencapaian sasaran ini adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emissions Development Strategy/ LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022 oleh KASA," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, hari ini beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia atau Malaysia Climate Change Action Council (MyCAC) Bil. 2 Tahun 2021.

Katanya, majlis ini dianggotai oleh 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan dua pakar sebagai ahli jemputan.

"Mesyuarat mengambil maklum berhubung Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change/UNFCCC COP-26) bakal diadakan di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November nanti.

"Buat julung kalinya, pendirian negara yang bakal dibentangkan semasa UNFCCC COP-26 sudah dibincangkan di peringkat tertinggi negara melalui platform MyCAC," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, meskipun beliau dan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak dapat menghadiri World Leader's Summit pada 1 hingga 2 November dan UNFCCC COP-26, keputusan mesyuarat memberi mandat kepada delegasi diketuai KASA untuk menyampaikan Kenyataan Negara.

"Antara inti pati perbincangan dan keputusan mesyuarat yang akan diketengahkan dalam Kenyataan Negara adalah pengemaskinian Nationally Determined Contributions (NDC) yang lebih 'ambitious' kepada UNFCCC COP-26.

Beliau berkata, inti pati itu juga termasuk pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (Domestic Emissions Trading Scheme/ DETS) oleh KASA dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

"Skim ini membabitkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik. Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara.

"Mesyuarat juga memutuskan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (non-internal combustion engine/ ICE) menjelang 2030.

"Selain itu, mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara, menggalakkan 'zero waste' dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari.

"Ini termasuk menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat.

"Dalam hal ini juga, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara di rantau ini.

"Memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 8:19 PM