Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pengundi memakai pelitup muka ketika membuang undi pada 12 Ogos ini terutama membabitkan mereka yang bergejala Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, saranan itu sebagai salah satu usaha mengekang penularan Covid-19 walaupun ketika ini kes berkenaan dilihat semakin stabil dan tidak menunjukkan peningkatan mendadak.

Menurutnya, mereka yang positif juga perlu jujur dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

"Itu yang terbaik (pakai pelitup muka walaupun) dalam SOP, kita ada bagi tahu ia tidak wajib lagi (dan) tiada tindakan mandatori atas mereka yang tidak memakai pelitup muka.

"Tetapi kalau mereka mahu pakai, kita galakkan sebab di kawasan ramai kadang-kadang kita tak tahu siapa yang mungkin bergejala atau mungkin ada (dijangkiti) Covid-19 tetapi tak bergejala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menemani calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail menyantuni pengundi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, beliau sudah meminta pasukan daripada KKM untuk berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan lebih lanjut SOP berkaitan Covid-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Katanya, perbincangan akan diadakan bagi menentukan sama ada mahu mengguna pakai SOP yang sama pada pilihan raya umum lalu atau menambah baik SOP berkenaan.

"Insya-Allah, saya sudah memberitahu kepada pasukan KKM untuk segera bertemu dengan SPR (dan) dalam sehari dua ini, mereka akan bertemu dan berbincang secara lebih dalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 5:03 PM
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa semasa sidang media selepas berkempen sempena Piliharanraya Negeri (PRN) di salah sebuah restoran Jalan Bukit Kecil. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa semasa sidang media selepas berkempen sempena Piliharanraya Negeri (PRN) di salah sebuah restoran Jalan Bukit Kecil. FOTO GHAZALI KORI