PETUGAS SPR menguruskan SOP dengan mewajibkan imbasan MySejahtera dan menggunakan sanitasi kepada pengundi di Pusat Mengundi SJK (T) Melaka Kubu, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
PETUGAS SPR menguruskan SOP dengan mewajibkan imbasan MySejahtera dan menggunakan sanitasi kepada pengundi di Pusat Mengundi SJK (T) Melaka Kubu, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Arfa Yunus

Melaka: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi rendah iaitu 36 peratus setakat tengah hari ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengundian awal pada 16 November lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 89.9 peratus dengan 10,390 pengundi terdiri anggota tentera, polis dan pasangan mereka.

Sejak jam 9 pagi tadi, peratusan keluar mengundi hanya tujuh peratus dan ia menyaksikan sedikit peningkatan kepada 17 peratus pada jam 10 pagi.

Aliran pengundian perlahan itu berterusan sehingga jam 11 pagi dengan SPR mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 27 peratus pada waktu itu.

Sejak tempoh berkempen PRN Melaka bermula minggu lalu, penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi yang rendah pada hari pengundian hari ini.

Menurut mereka, kebimbangan terhadap penularan Covid-19, kelesuan politik dan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang ketat menjadi punca utama peratusan keluar mengundi yang rendah.

Awal hari ini, dilaporkan kadar penggunaan katil hospital di Melaka sudah mencecah 84.2 peratus.

Kadar pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada tahap 60.9 peratus dan pada masa sama, Melaka turut rekodkan 233 jangkitan baharu Covid-19.

Sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran mengundi di 28 kawasan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang mengikut SOP yang ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan sanitasi dan mengamalkan penjarakan fiziakl.

Khemah khas juga disediakan untuk pengundi bergejala Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 1:34 PM