ANGGOTA tentera mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 ketika proses undi awal PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA tentera mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 ketika proses undi awal PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan

Melaka: Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merekodkan 10,390 individu atau 89.9 peratus anggota polis, tentera dan pasangan keluar menjalankan tanggungjawab, hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang tempoh mengundi awal bermula 8 pagi hingga semua pusat mengundi awal (PPA) ditutup pada 5.30 petang.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

"Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), media dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan kepada SPR," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 11,557 pengundi awal terdiri 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis layak untuk mengundi awal pada PRN Melaka.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis, hari ini dan kertas undi itu hanya akan dikira pada Sabtu ini, bermula 4 petang.

Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR, dan urusan pengiraan undi akan disaksikan ejen calon masing-masing.

Terdahulu, sebanyak 31 PPA bagi PRN Melaka mula dibuka pada 8 pagi membabitkan 24 PPA khusus untuk anggota polis, manakala tujuh pusat lagi dengan empat daripadanya berada di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Udang membabitkan pengundi tentera dan pasangan.

Dun Sungai Udang antara kerusi merekodkan jumlah pengundi awal tertinggi pada PRN Melaka, iaitu melebihi 40 peratus daripada keseluruhan 22,793 pengundinya.

Sepanjang proses pengundian awal, SPR menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan serta merekodkan kehadiran.

SPR turut membuka khemah khas dikendalikan petugas KKM untuk tujuan pengasingan pengundi bergejala atau memiliki suhu badan melebihi 37.5 darjah Selsius.

Proses pengundian awal disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya dilantik SPR dan proses pengundian berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) SPR.

Hanya empat Dun tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu Dun Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:54 PM