Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat kepada Kassim Mat Noh, 81, sempena program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 31 bagi tahun 2021’ di Kampung Sempering, Kangar. FOTO IHSAN ISTANA ARAU
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat kepada Kassim Mat Noh, 81, sempena program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 31 bagi tahun 2021’ di Kampung Sempering, Kangar. FOTO IHSAN ISTANA ARAU
Aizat Sharif


Kangar: Segala aktiviti kelas pengajian, kuliah dan sebagainya dibenarkan semula di masjid seluruh negeri Perlis berkuat kuasa hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menegaskan aktiviti pengimarahan masjid ini adalah selaras dengan limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri ini ketika Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan berdasarkan segala ketetapan sedia ada.

"Aktiviti ini mesti dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti bacaan al-Quran dan terjemahan selepas solat Subuh dilaksanakan dalam tempoh 15 minit sahaja.

"Selain itu, penjarakan jarak ketika solat juga dikurangkan daripada dua meter (m) kepada 1.5 m dan kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak.

"Tiada penceramah yang didapati terbabit dalam aktiviti rentas sempadan dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di negeri ini," titahnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebelum itu berkenan mencemar duli berangkat menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat kepada seorang asnaf, Kassim Mat Noh, 81, sempena program 'MAIPs Peduli Kali Ke 31 bagi tahun 2021'.

Selain itu, baginda turut menegaskan bahawa jamuan di masjid boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterina serta meminimumkan penggunaan plastik untuk dibawa pulang sahaja.

Sementara itu, kunjungan ke atas Kassim adalah bersempena program rutin kayuhan baginda di sekitar kawasan kariah Masjid Al Amin, Sempering, Kangar yang disambung kembali setelah terpaksa dihentikan sementara selama dua bulan disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Asnaf berkenaan tinggal bersama dua orang anak di Kampung Sempering, Kangar dan adalah penerima bantuan bulanan MAIPs dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

Dalam masjid itu juga, seramai 30 orang asnaf terpilih turut menerima sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang pada kali ini yang diserahkan baginda melalui amil kawasan berkenaan, Senawi Saad dengan nilai RM21,000.

Turut hadir mengiringi baginda adalah Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 10:11 AM