TUN Dr Mahathir.
TUN Dr Mahathir.
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, pengisian erti kemerdekaan adalah jauh lebih sukar berbanding hanya sorak dan gembira yang ditunjukkan anak muda kini.

Melalui ucapan sempena Hari Merdeka ke-66, Dr Mahathir menjelaskan, kemerdekaan yang diperoleh Malaysia kini dibayar dengan darah, keringat dan air mata melalui perjalanan yang jauh sehingga 500 tahun lamanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau menekankan kepentingan untuk negara, bangsa dan tanah air terus mempertahankan kemuliaan, hasil kemerdekaan yang dicapai selama ini.

"Apakah ertinya merdeka, kebebasan tidak terkurung, terlepas dari dibelenggu. Tanah Melayu sudah merdeka, ia perjalanan yang jauh lebih 500 tahun lamanya...kekuatan Tuah dan jiwa memberontak Jebat, tidak padam dek zaman.

"Mengalir deras bersama pejuang Melayu. Dari Maharaja Lela ke Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau, begitu juga Tunku Kudin yang syahid. Datuk Onn (Jaafar), Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) penyambut perjuangan.

"Bagi anak muda, merdeka itu sorak dan gembira, mengisi merdeka itu jauh lebih sukar. Apa yang ada hari ini tidak seperti sebelumnya. Apakah kemuliaan dapat dipertahan selamanya, akan terpinggirkah bangsa, akan terlepaskah lagi tanah air kita?" katanya melalui klip video ucapan Hari Merdeka ke-66, hari ini.

Melalui video berdurasi 2 minit 6 saat itu yang dimuat naik di Facebooknya, Dr Mahathir turut mengimbau kegemilangan Malaysia yang berjaya membangunkan negara dengan pesat sehingga digelar Harimau Asia.

"Kita sambut merdeka sebagai tanda kita tidak lagi dijajah, kemerdekaan yang dibayar dengan darah, keringat dan air mata. Kita bebas, kita bebas tentukan hala tuju kita.

"Kita bergabung dengan tubuh Malaysia. Kita bertanggungjawab pada negara kita, kepada rakyat kita. Kita bangunkan negara dan kita berjaya. Maka aman dan damailah kita. Kita bangunkan negara dengan pesat. Kita digelar Harimau Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 11:42 AM