Muhammad Anuar Mat Zin (kanan) didakwa tipu empat guru sambilan tidak terlatih berkaitan tuntutan bayaran balik emolumen berjumlah RM154, 864.40, tujuh tahun lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Muhammad Anuar Mat Zin (kanan) didakwa tipu empat guru sambilan tidak terlatih berkaitan tuntutan bayaran balik emolumen berjumlah RM154, 864.40, tujuh tahun lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menipu empat Guru Sambilan Tidak Terlatih (GSTT) berkaitan bayaran balik emolumen berjumlah lebih RM154,000 tujuh tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Anuar Mat Zin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa menipu empat GSTT untuk mempercayai bahawa Resit Rasmi No R0000519 (tiga salinan) dan No R0000520 bagi maksud penerimaan bayaran balik emolumen bagi Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), elaun Sara Hidup (COLA) dan Elaun Khidmat Awam (EKA) kerana peletakan jawatan JAIM-KPM berjumlah keseluruhan RM154, 864.40 adalah tulen hingga mendorong mereka membayar tuntutan itu.

Dia dituduh dengan curang mendorong guru terbabit, Mohd Zulhilmi Ismail, Abdul Hafidz Abdul Aziz, Mohd Luqman Yusof dan Mohd Khairul Afif Mohd Ghazali menyerahkan wang berjumlah RM154,864.40, yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh yang ketika kejadian Penolong Pegawai Tadbir gred N29, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM, di sini, pada 8 November 2017, 3 April 2018 dan 19 Julai 2018.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh adalah bapa tunggal kepada tiga anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan serta membenarkan syarat seperti dipohon pendakwaan serta menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:21 PM