Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Pulau Pinang akan meneruskan dasar pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ketika ini semua 40 Adun bagi penggal terbaharu akan menggunakan baki peruntukan yang diberikan kepada Adun terdahulu.

Menurutnya, mereka perlu menggunakan baki peruntukan bagi suku tahun keempat tahun ini daripada Adun terdahulu sebelum pembiayaan baharu diumumkan kelak.

"Ketika ini, peruntukan kepada pembangkang masih kekal sebab sekarang sudah masuk suku terakhir (tahun ini). Jadi semua Adun yang baharu akan menguruskan peruntukan yang masih berbaki bagi penggal yang lalu.

"Bagi (11 Adun) pembangkang adalah sama, kalau ada baki peruntukan itu, akan digunakan baki peruntukan itu.

"Kita (kerajaan negeri) akan meneruskan dasar pemberian peruntukan sama kepada Adun sama ada kerajaan mahupun pembangkang secara kekal, tetapi (nilai peruntukan) tak sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH)/Barisan Nasional (BN) akan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sama seperti yang dilakukan kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dipimpin Perikatan Nasional (PN)

Kon Yeow yang juga Adun Padang Kota ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Adun di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

CHOW Kon Yeow ketika sidang media pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan ADUN Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
CHOW Kon Yeow ketika sidang media pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan ADUN Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Sementara itu, Kon Yeow menggesa semua Adun supaya saling memupuk perpaduan serta mengamalkan politik matang demi mengutamakan agenda rakyat.

"Mandat rakyat tidak wajar diperlekeh serta disia-siakan sebaliknya perlu dimanfaatkan dengan inisiatif, pendekatan, usaha serta perdebatan matang yang boleh mencambahkan segala kebaikan demi pembangunan Pulau Pinang terus gemilang.

"Walaupun berbeza ideologi, tekad untuk terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan negeri ini perlu sentiasa menjadi pegangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 2:48 PM