NG Wei Che (duduk, tengah) mengaku tidak bersalah kemukakan tuntutan palsu dua tahun lepas. FOTO Omar Ahmad
NG Wei Che (duduk, tengah) mengaku tidak bersalah kemukakan tuntutan palsu dua tahun lepas. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Pemilik syarikat pembekal kontena dan bekas pengurus besar pelabuhan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu dan bersubahat terhadap tuntutan bernilai lebih RM150,000, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Ng Wei Che, 33, yang juga pemilik syarikat pembekal kontena didakwa mengemukakan tuntutan berjumlah RM151,024.50 yang mana butiran berkenaan adalah palsu.

Tuntutan berkenaan dibuat menggunakan 'Document Distribution Note', 'Agreed Final Measurement' dan Request For Inspection', sedangkan ia tidak sama dengan pembekalan yang dilaksanakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, di sini, pada 9 November 2021.

Wei Che didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, bekas pengurus besar pelabuhan, Tan Ming Han Vincent, 40, pula didakwa bersubahat dengan Wei Che dengan niat memperdayakan prinsipalnya ketika itu, dengan mengarahkan penerimaan pembekalan dilaksanakan, yang mana kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan.

Kesalahan berkenaan dilakukan dilakukan di lokasi dan waktu yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2)(c) akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhammad Ruzi, manakala Wei Che diwakili peguam Goh Sze Han sementara Ming Han diwakili peguam R Jayabalan dan R Subash.

Ahmad Kamal mengarahkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain diarah melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor pada setiap bulan.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 1:32 PM