Anggota SPRM mengiringi Norfadilla (depan tengah) bersama Mohd Safry (baju merah) sebelum dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, Kangar. FOTO Azhar Ramli
Anggota SPRM mengiringi Norfadilla (depan tengah) bersama Mohd Safry (baju merah) sebelum dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, Kangar. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


SEORANG bekas kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, hari ini atas lima pertuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen bernilai RM61,417.20 antara April hingga Julai 2013.

Tertuduh, Norfadilla Wahida Radzi, 35, dituduh melakukan perolehan berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen berjumlah RM61,417.20 kepada Syarikat Zerofreak Enterprise yang dimiliki suaminya, Mohd Safry Mohamed Soofi, 39.

Mengikut pertuduhan pertama, bekas Pembantu Tadbir N17 itu didakwa memasukkan borang pesanan ke dalam sistem IUS Kewangan berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen bernilai RM12,310 oleh suaminya itu pada 23 April 2013.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga, keempat dan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan nilai RM12,310.20, RM12,959.60, RM10,854 dan RM12,983.20 antara April hingga Julai tahun yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Sementara itu, suami tertuduh, Mohd Safry pula didakwa atas lima pertuduhan yang sama bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 23 akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Abu Hassan membenarkan Norfadilla dan Mohd Safry diikat jamin RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin, masing-masing dan perbicaraan ditetapkan pada 14 dan 15 Ogos depan.

Kedua-dua tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 3:31 PM