PESAWAT pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM melakukan penerbangan rendah melintasi ruang udara Putrajaya semasa sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO BERNAMA
PESAWAT pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM melakukan penerbangan rendah melintasi ruang udara Putrajaya semasa sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan akan terbabit dalam pertunjukan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.

Pertunjukan yang diterajui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu akan membabitkan aset daripada pelbagai kategori, antaranya pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM; F/A-18D Hornet dan BAE Hawk; pesawat pengangkut A400M; dan C130 Hercules, termasuk helikopter daripada Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain itu, terdapat juga aset udara daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Acara yang dijangka mencuri tumpuan pada pertunjukan udara itu adalah segmen gabungan formasi helikopter yang akan membabitkan 25 helikopter yang bakal menghidangkan beberapa aksi memukau dan mendebarkan kepada penonton.

Segmen itu bakal memaparkan kebolehupayaan dan kesiagaan pasukan keselamatan negara hasil gabungan kemahiran dan kepakaran khas bagi pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Sementara itu, Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat memberitahu, 178 aset ATM, antaranya kenderaan pembawa senjata (KPS) Vamtac S3; meriam 105mm LG MK III; kereta perisai 8x8 Gempita AFV 30mm; kereta perisai ACV 300 Adnan IFV 12.7mm; dan kereta kebal PT91 Pendekar akan terbabit dalam perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023.

Antara aset dalam perbarisan dan perarakan yang dijangka menjadi perhatian adalah Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) Astros II; Hospital Medan; Kenderaan Jambatan Taktikal Pontun - 'Standard Module'; dan kenderaan 'Tactical Mobility Support System' (TMSS).

Bagi TLDM pula, pasukan itu akan menampilkan dua treler misil dan 'Rigid Hull Inflatable Boat' (RHIB) manakala TUDM pula akan memperagakan tiga treler misil TUDM.

Kontinjen ATM adalah kontinjen terbesar dalam perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023.

Antara yang terbabit ialah kontinjen gabungan pasukan khusus ATM; pasukan 10 Briged Para; pasukan simpanan ATM; dan pasukan Malbatt.

Bertemakan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan', 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan; Perpaduan Malaysia Madani; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif; Komuniti; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 1:01 PM