ALLAHYARHAM Datuk Zamri Man. FOTO Ihsan FB Majlis Perbandaran Manjung.
ALLAHYARHAM Datuk Zamri Man. FOTO Ihsan FB Majlis Perbandaran Manjung.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man meninggal dunia, di sini, hari ini.

Difahamkan, Allahyarham, 56, yang juga bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menghembus nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini

Berita pemergian Allahyarham turut dikongsi melalui Facebook (FB) rasmi MPM, hari ini yang mengucapkan takziah atas pemergian Zamri.

"Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Datuk Zamri Man, mantan YDP MPM yang sudah kembali ke rahmatullah pada 27 Ogos 2023 (hari ini) bersamaan 10 Safar 1445 Hijrah," kata hantaran itu.

Allahyarham pernah memegang jawatan Datuk Bandar Ipoh selama empat tahun bermula dari Julai 2015 sehingga Julai 2019.

Pada April 2019, media melaporkan Zamri dikatakan 'menghilang' selepas didakwa menghidap sakit misteri sehingga tidak dapat bertugas selama beberapa bulan ketika itu.

Media pada 24 April 2019 turut melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) sebagai berkata, tempoh perkhidmatan Zamri sebagai Datuk Bandar Ipoh dipendekkan bermula 17 Februari 2019 atas faktor kesihatan dengan beliau ditempatkan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mulai 18 Februari tahun sama bagi menjalani rawatan pemulihan.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Zamri disingkirkan daripada jawatan Datuk Bandar kerana menghilangkan diri selama beberapa bulan memandangkan tidak hadir bertugas tanpa cuti (AWOL) serta tidak mengemukakan sebarang sijil cuti sakit selama beberapa bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 8:41 PM