Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Masyarakat bukan Islam di negara ini diminta memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan modul itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan tidak digembar-gembur dan diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini.

"Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.

"Oleh itu, kita kena cari jalan sebenar iaitu untuk beri kefahaman Islam kepada orang Islam dan tidak paksa sesiapa (bukan Islam), "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.

Menurut kenyataan berkenaan, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam dan akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Sementara itu, Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) pula dilaporkan menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pelaksanaan modul itu dibuat kerana bimbang Pendidikan Islam sedia ada akan menyebabkan generasi muda mudah terpengaruh kerana tidak memahami ajaran Islam sepenuhnya.

"40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutama anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam, jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (murid) bukan Islam.

"Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam.

"Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada Al-Quran dan kupasan ulama muktabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:14 PM