KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan yang mengorbankan seorang wanita berusia 26 tahun.
KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan yang mengorbankan seorang wanita berusia 26 tahun.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pemandu lori yang terbabit kemalangan tujuh kenderaan hingga mengorbankan wanita di laluan bertingkat Lido, Jalan Lintas, di sini Selasa lalu, direman lima hari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki berusia 52 tahun itu direman bermula semalam hingga 27 Ogos.

"Lori dipandunya dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe dalam hantarannya di Facebook malam ini, memaklumkan mengikuti perkembangan siasatan kes itu.

"Saya telah hubungi pihak berkuasa untuk memastikan tindakan lanjut sedang diambil, termasuk langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan seperti ini berulang. Semoga keadilan akan ditegakkan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Nicolette Hannah George, 26, maut selepas kereta dipandunya digilis lori.

Phoong turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sempat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 10:56 PM