Armizan ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pengamal media mengenai Pelaksanaan Ops Tiris di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  (KPDN) hari ini. FOTO BERNAMA
Armizan ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pengamal media mengenai Pelaksanaan Ops Tiris di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau bekalan makanan yang diimport dari Jepun susulan tindakan negara itu melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Pemangku Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana, Malaysia ada bergantung kepada sumber makanan yang dibawa masuk dari luar negara, termasuk Jepun.

"KPDN mengambil maklum mengenai perkembangan ini termasuk nasihat dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

"Kita akan meneliti perkembangan terbaharu ini dan mengambil tindakan perlu untuk memastikan sumber bekalan makanan yang diimport dari negara luar adalah selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus bersama media mengenai pemerkasaan Ops Tiris di sini, hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, Jepun hari ini akan mula melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.

Malah, kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.

Bagaimanapun, Jepun kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air itu adalah selamat dan mengikut standard keselamatan yang dilaksanakan secara berperingkat serta mendapat kelulusan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai lalu.

Susulan perkembangan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan semalam, menerusi kenyataan memaklumkan akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Beliau dilaporkan berkata, berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 sehingga Jun lalu, makanan berasaskan ikan dan hasilan ikan, antara produk tertinggi diimport dari Jepun disusuli buah-buahan, sayuran dan selebihnya adalah makan serta minuman terproses dengan nilai keseluruhan RM880,115,437.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebarang perkembangan berhubung perkara itu akan dimaklumkan kepada media.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 3:40 PM