Mohd Roji Kawi


Kuching : Kira-Kira 40 peratus daripada 15,315 koperasi seluruh negara bermasalah dan berdepan kehilangan kelayakan kerana tidak menepati Seksyen 60 dan Seksyen 39 Akta Koperasi 1993.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata, kebanyakan koperasi terbabit adalah kalangan koperasi kecil dan mikro yang menghadapi masalah apabila gagal menyediakan penyata akaun.

Menurutnya, kebanyakan koperasi menghadapi masalah itu selepas negara dilanda pandemik Covid-18 bermula pada 2020.

Beliau berkata, berikutan terlalu banyak kesukaran dihadapi ketika pandemik, perniagaan terjejas teruk dan banyak koperasi tidak dapat menyediakan penyata akaun dengan teratur sehingga kini.

"Kegagalan itu menyebabkan koperasi terbabit tidak dapat diaudit seperti yang ditetapkan mengikut Akta Koperasi 1993.

"Berikutan itu, sehingga Disember tahun lalu, hampir 4,000 daripada 15,315 koperasi tidak dapat diaudit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas

Majlis Perasmian Program Taklimat GP 23: Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (Pindaan) 2020, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rodiyah Sapiee dan Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta.

SARASWATHY menyampaikan replika cek pada Program Taklimat GP 23 Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (Pindaan) 2020, hari ini . FOTO Nadim Bokhari
SARASWATHY menyampaikan replika cek pada Program Taklimat GP 23 Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (Pindaan) 2020, hari ini . FOTO Nadim Bokhari

Berikutan itu katanya, SKM mengambil inisiatif membantu koperasi bermasalah itu dengan memberi kesedaran dan pendedahan bagi menyediakan penyata akaun untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan.

"SKM memperkenalkan satu sistem untuk membantu koperasi kecil dan mikro menyediakan penyata akaun seterusnya membolehkan mereka diaudit.

"Bukan itu sahaja, SKM juga menyediakan bantuan kewangan untuk koperasi itu terutamanya yang punyai tunggakan audit selama dua tahun atau lebih," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan tegas hanyalah pendekatan terakhir jika pihak koperasi terus gagal dalam tadbir urus penyata akaun.

Sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat sebanyak 15,315 koperasi berdaftar dengan SKM di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.3 juta ahli.

"Di Sarawak sahaja, terdapat sebanyak 1,159 koperasi dengan keanggotaan lebih 310,000 serta aset bernilai RM647.5 juta manakala perolehan dijangka meningkat kepada RM392 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:26 PM