GAMBAR hiasan. Koperasi. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Koperasi. FOTO arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melancarkan Program Bantuan Perakaunan dan Pengauditan Kepada Koperasi Kecil dan Mikro (PAKAR) bagi meningkatkan prestasi pengauditan melalui pemberian geran sepadan.

Pengarah Bahagian Audit Koperasi SKM, Marcellinus Andreas berkata, inisiatif itu bagi membantu koperasi kluster kecil dan mikro yang bermasalah dalam penyediaan akaun dan pengauditan.

Selain itu katanya, ia bagi meringankan beban koperasi yang kurang mampu dari aspek kewangan serta kemahiran untuk menyediakan akaun koperasi.

"PAKAR diperkenalkan sejak tahun 2020 bertujuan meningkatkan kemahiran koperasi berkaitan penyenggaraan akaun dan seterusnya menyediakan akaun untuk diaudit pada tahun kewangan berikutnya.

"Dengan itu, koperasi dapat mengukur prestasi kewangan berdasarkan akaun yang diaudit dan bagi memudahkan pihak berkepentingan (stakeholders) untuk membuat keputusan ekonomi dengan tepat serta berkesan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarat kelayakan bantuan PAKAR kepada koperasi kluster kecil dan mikro adalah koperasi yang aktif dan mempunyai tunggakan akaun sekurang-kurangnya dua tahun kewangan.

Bagaimanapun katanya, tawaran itu turut terbuka kepada koperasi yang tidak aktif tetapi berpotensi untuk dipulihkan.

Mengulas lanjut, Marcellinus berkata, bantuan itu dikategorikan sebagai pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang, namun dengan fokus berbeza.

Katanya, bagi pelan jangka pendek ia terbahagi kepada dua iaitu Bantuan Penyediaan Akaun Koperasi (Bantuan Akaun) dan Bantuan Pengauditan Koperasi (Bantuan Audit).

"Pelan jangka panjang pula adalah bantuan sistem perakaunan yang akan diberikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:07 PM