PROF Madya dan Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed.
PROF Madya dan Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

Kuala Lumpur: Peranan koperasi perlu diperkasa dan diperluas bagi mengawal kenaikan harga barang serta mendepani ketidaktentuan ekonomi global, kata Prof Madya dan Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

Menurutnya, ini memandangkan ketika ini, dianggarkan terdapat 15,315 pertubuhan berdaftar sebagai koperasi di negara ini, dengan perolehan mencecah RM45.5 bilion.

Beliau berkata, dengan jumlah keanggotaan setakat 31 Disember 2022 adalah melebihi 7.3 juta; jumlah modal syer dan yuran yang terkumpul mencatatkan RM16.9 bilion serta jumlah aset mencecah RM159.6 bilion, angka ini jelas menunjukkan betapa besarnya sumbangan koperasi kepada pendapatan negara.

"Namun, pembabitan koperasi dalam bidang tertentu masih rendah. Sebagai contoh, hanya 0.13 peratus atau 21 daripada keseluruhan 15,315 koperasi berdaftar terbabit dalam sektor bidang ternakan ayam dan angka itu amat kecil berbanding potensi, keperluan dan permintaan pasaran terhadap bidang ternakan.

"Aktiviti koperasi ini amat dekat dengan rakyat dan peranannya penting untuk diperluaskan kerana koperasi juga organisasi yang berdikari dalam memajukan bukan hanya sosioekonomi anggotanya, bahkan mampu memberi impak positif kepada rakyat secara keseluruhan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sudah tiba masanya koperasi di dalam negara bekerjasama secara kolektif untuk menawarkan lebih banyak barangan keperluan harian dan memperkenalkan kedai serbaneka atau kedai runcit yang lebih meluaskan di pelbagai lokaliti dengan harga mampu milik.

"Konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah diperkenalkan sebelum ini perlu dijenamakan semula dan koperasi boleh memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kedai serbaneka atau kedai runcit dengan jaringan meluas," katanya.

Katanya, sekiranya rangkaian 'kedai runcit Aceh' berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, tentu sekali koperasi boleh turut terbabit di dalam kedai serbaneka atau kedai runcit secara meluas.

Menurutnya, aksesibiliti yang mudah dan penawaran pelbagai barangan yang diperlukan oleh penduduk setempat menyebabkan 'kedai runcit Aceh' berkembang secara meluas.

"Di sinilah peranan penting boleh dimainkan oleh koperasi secara kolektif untuk membuka kedai serbaneka atau kedai runcit secara meluas dengan pelbagai jenis barang mampu milik.

"Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah aksesibiliti kedai serbaneka atau kedai runcit yang perlu berdekatan dengan setiap kawasan perumahan dan menawarkan pelbagai jenis barangan yang diperlukan oleh rakyat pada harga mampu milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:05 AM