WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menawarkan kemudahan penangguhan bayaran balik (Moratorium PKP 3.0) bagi Pembiayaan Tabung Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata, menerusi penangguhan bayaran balik itu, ia secara langsung mampu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

"Menerusi Moratorium 3.0 itu, sebanyak 1,056 koperasi seluruh negara akan menerima manfaat, sehingga 30 April lalu jumlah akaun pembiayaan TMPSKM adalah sebanyak 1,734 dengan kelulusan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.66 bilion.

"Koperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 hanya akan membuat bayaran balik pinjaman mulai 1 September 2021. Bagi tujuan berkenaan, proses permohonan akan dipermudahkan di mana koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara atas talian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pelaksanaan Moratorium PKP 3.0 itu ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan di bawah TMPSKM.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium itu tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggota-anggota koperasi.

"MEDAC berharap kemudahan moratorium bagi pembiayaan TMPSKM ini dapat membantu kelangsungan aktiviti perniagaan gerakan koperasi dan menyediakan kemudahan tunai tambahan untuk operasi koperasi.

"MEDAC dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus komited dalam membantu menyediakan kemudahan khidmat nasihat dan bantuan perundingan secara berterusan kepada koperasi yang memerlukan perundingan, menerusi talian atau emel di 1-300-88-1020 atau [email protected] .

Selain itu, koperasi juga boleh menghubungi SKM di talian 011-14736471 atau emel kan kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 12:01 PM