Sebahagian daging kijang, rusa dan pelanduk serta tanduk yang dirampas dalam serbuan oleh Perhilitan di Sik. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sebahagian daging kijang, rusa dan pelanduk serta tanduk yang dirampas dalam serbuan oleh Perhilitan di Sik. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Satu sindiket pemburuan hidupan liar di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik ditumpaskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah susulan tangkapan enam pemburu haram Jumaat lalu.

Turut dirampas pelbagai bahagian hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM103,350 serta dua laras senapang patah termasuk satu buatan sendiri dan busur serta beberapa peralatan lain.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, semua suspek warga tempatan berusia 40 hingga 63 tahun ditahan secara berasingan di rumah masing-masing di Kampung Landai, Kampung Belantek, Kampung Galau dan Kampung Bukit Berangan di Sik.

Katanya, serbuan menemukan pelbagai bahagian badan haiwan seperti kijang, pelanduk, rusa yang disejuk beku bertujuan untuk dijual kepada pihak yang dikenali.

"Antara suspek yang ditahan mempunyai pertalian persaudaraan mereka dipercayai aktif membur secara haram sejak 10 tahun lalu.

"Serbuan turut merampas pelbagai jenis burung murai, tiong mas, ruak-ruak dan rusa sambar yang tergolong dalam haiwan eksotik dan bernilai tinggi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jamalul Nasir berkata, modus operandi sindiket ialah menjual bahagian haiwan berkenaan kepada pelanggan terdiri daripada ahli atau kenalan menerusi kumpulan WhatsApp.

Malah katanya, hanya individu tertentu sahaja yang boleh berurus niaga dalam kumpulan media sosial itu.

"Sindiket juga menawarkan pakej pemburuan haram di dalam hutan itu kepada ahlinya dan dikenakan bayaran tertentu," katanya.

Katanya, pelanduk dan kijang mendapat permintaan tinggi dan dijual antara harga RM100 hingga RM200 sekilogram manakala pelanduk hidup dijual RM1,000 seekor.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 dan tiga daripada suspek turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 4:03 PM