MUHAMMAD Piza dari muncul johan Anugerah Perdana Belia Negeri Melaka 2023 bagi kategori lelaki. FOTO Nazri Abu Bakar
MUHAMMAD Piza dari muncul johan Anugerah Perdana Belia Negeri Melaka 2023 bagi kategori lelaki. FOTO Nazri Abu Bakar
BERNAMA

Alor Gajah: Pemimpin belia sedia ada perlu menyediakan barisan pemimpin pelapis berkaliber, bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pemimpin belia sedia ada ketika ini akan melepasi had usia ditetapkan, justeru persediaan awal perlu dilakukan bagi membentuk generasi pemimpin masa hadapan.

Beliau berkata ini termasuklah, mendedahkan pelapis pemimpin ini dengan pelbagai peluang pendidikan, dalam usaha melahirkan bakal pemimpin negara yang berkaliber dari pelbagai aspek termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Golongan belia berkenaan perlu sentiasa cekap, pantas, kreatif, bijak dan berani, dalam menghadapi apa jua cabaran, memandangkan mereka menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan negara pada masa hadapan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Ab Rauf berkata persatuan dan pertubuhan belia di Melaka, perlu sentiasa bergerak secara proaktif dalam menjalankan apa jua bentuk program, khususnya yang dapat meringankan beban rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa menyokong agenda pembangunan belia di Melaka dan bersikap terbuka menerima segala idea, cadangan, pandangan atau kritikan, yang membina demi kemajuan dan kemakmuran negeri itu.

"Apabila melihat ramai anak muda yang datang pada hari ini sama ada secara individu atau mewakili pertubuhan belia, saya merasakan ia menjadi satu dorongan dan sokongan daripada golongan belia kepada kepimpinan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Melaka sebagai negeri yang lebih maju, sejahtera dan lestari," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Perdana Belia Peringkat Negeri Melaka 2023 bagi kategori individu wanita, lelaki dan pertubuhan belia.

Bagi kategori individu wanita, johan bagi Anugerah Perdana Belia Peringkat Negeri Melaka 2023 dimenangi Nur Amni Abdul Raman, manakala johan bagi kategori lelaki pula dimenangi Mohammad Fiza Mohd Fuad dan kedua-dua mereka, masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil penghargaan.

Bagi kategori pertubuhan belia pula, anugerah berkenaan dimenangi Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Padang Sebang, Alor Gajah yang membawa pulang wang tunai RM10,000, piala dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 8:56 PM