Asmah Ibrahim dinobatkan Johan Kategori Individu Wanita Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Asmah Ibrahim dinobatkan Johan Kategori Individu Wanita Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Penternak lembu dan kambing, Asmah Sulaiman, 30, mengakui tidak menduga apabila dinobatkan Johan Kategori Individu Wanita Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022, semalam.

Asmah yang menternak lebih 200 ekor lembu dan 800 ekor di Kampung Bukit Tembakau, di sini, berkata kemenangan berkenaan meningkatkan semangatnya untuk aktif dalam bidang ternakan dan membesarkan perniagaan terbabit pada masa hadapan.

"Bidang penternakan ini diwarisi daripada perniagaan ibu dan arwah ayah yang memiliki ladang di Kampung Bukit Tembakau.

"Kemenangan ini memang mengejutkan kerana saya hanya diberikan tempoh dua hari untuk membuat segala persiapan berkaitan dokumen dan video pertandingan sebelum tarikh tutup penyertaan," katanya.

Asmah yang aktif dalam bidang belia dan kini memegang jawatan Setiausaha Persatuan Belia Bersatu Bukit Tembakau, Jasin berkata dia juga akan terus aktif dalam aktiviti sukarelawan sekali gus menyeru remaja membabitkan diri dalam persatuan untuk mencorak kehidupan masa depan.

Sementara itu, guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau AC Gobindaran, 30, merangkul johan bagi Kategori Individu Lelaki.

Katanya, dia juga aktif dalam pertubuhan belia dan kerap turun padang membantu mangsa bencana termasuk ketika banjir melanda Pahang serta Terengganu.

Pada majlis berkenaan, Asmah dan Gobindaran masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi serta sijil yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 3:39 PM