MINARWAN (kanan) antara produk hoki Melaka yang berjaya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
MINARWAN (kanan) antara produk hoki Melaka yang berjaya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Hoki Negeri Melaka (PHNM) akan menganjurkan liga hoki pada Ogos depan dalam usaha mengenal pasti bakat baharu dalam sukan terbabit.

Presiden PHNM, Datuk Rais Yasin berkata, dia bertekad untuk mengembalikan semula penganjuran liga hoki Melaka selepas beberapa tahun tidak diadakan dalam merancakkan industri sukan berkenaan.

Menurutnya, kejohanan terbabit dijangka diadakan pada Ogos namun pihaknya akan mendapatkan pandangan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkaitan tarikh penganjuran yang sesuai.

Katanya, dia yakin penganjurannya kelak akan memberi impak kepada skuad hoki negeri dan negara pada masa hadapan.

Dalam masa sama katanya, program pembangunan pelapis baharu bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah dan belia akan terus diperkasa menerusi kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN), Jabatan Pendidikan negeri dan pelbagai agensi.

"Sehubungan itu, Stadium Hoki Melaka di Bukit Serindit akan ditambah baik menerusi projek menaiktaraf turf stadium berkenaan sekali gus memberi keselesaan kepada pemain termasuk bagi penganjuran kejohanan yang lebih besar.

"Usaha berkenaan antara komitmen bagi memperbaiki ranking skuad hoki Melaka di peringkat kebangsaan selepas muncul naib johan Piala Razak (lelaki) dan ketiga wanita 2023," katanya.

Beliau berkata, pendekatan terbabit sinonim dengan sejarah Melaka yang berjaya melahirkan ramai pemain terbaik negara seperti Wallace Tan dan Datuk Minarwan Nawawi.

Sabtu lalu Rais dipilih menerajui persatuan terbabit sementara jawatan Timbalan Presiden pula disandang Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 5:52 PM