WAN Rahimi Wan Mokhtar 61, atau lebih dikenali sebagai Mie Merdeka yang menghidap angin ahmar, menjadikan hiasan Jalur Gemilang di rumahnya sebagai terapi selain menyemarakkan suasana untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAN Rahimi Wan Mokhtar 61, atau lebih dikenali sebagai Mie Merdeka yang menghidap angin ahmar, menjadikan hiasan Jalur Gemilang di rumahnya sebagai terapi selain menyemarakkan suasana untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

Putrajaya: Sebarang cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, adalah salah satu daripada defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Aaron berkata cadangan seumpama itu turut membantutkan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari, yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, untuk memperingatinya di peringkat negeri.

"Ia berkait rapat tentang semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah.

"Seharusnya pemimpin di setiap peringkat hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemangkin perpaduan, termasuklah tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri melalui aspek sempadan politik, ekonomi dan sosial," katanya.

Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN semalam, iaitu 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini mengumumkan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Aaron berkata tema HKHM 2023 yang dilancarkan pada 27 Mei lalu itu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

Beliau berkata setiap rakyat di negara ini sedia maklum bahawa, sambutan yang diadakan saban tahun itu diraikan dengan semangat patriotisme dan cinta kepada negara, bagi mengenang jasa pejuang kemerdekaan terdahulu, yang telah bersusah payah memastikan Malaysia terus bebas merdeka dari cengkaman penjajah.

"Sambutan Hari Kebangsaan merupakan suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Aaron turut mengajak semua pihak untuk saling membantu dalam meningkatkan tahap kesepaduan nasional dan berganding bahu, memastikan usaha tersebut dapat dicapai dengan dengan kadar optimum, kerana perpaduan yang utuh menjadi tunjang kepada pembinaan Malaysia yang maju, sejahtera serta makmur.

"Usahlah kita menjadi pencetus kepada perpecahan atau ketidaksefahaman dalam kalangan rakyat.

"Ia bukan soal untuk mencari siapa yang lebih dan siapa yang kurang, siapa yang baik dan siapa yang buruk, tetapi ia lebih bersifat saling menguatkan bersama tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 6:41 PM