Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan selari dengan Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, sambutan Hari Kebangsaan itu dilakukan lebih awal berbanding sebelum ini pada malam 30 Ogos depan.

Katanya, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat pertama Exco Kelantan, semalam.

"Tema sambutan Hari Kebangsaan untuk Kelantan kekal seperti tema Kerajaan Persekutuan iaitu 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Membangun Bersama Islam'.

"Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu Membangun Bersama Islam. Lain-lain serta logo adalah sama.

"Bagaimanapun sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan sedikit berbeza iaitu pada waktu malam 30 Ogos dengan acara bermula jam 6.30 petang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan itu akan disertai dengan pelbagai acara dan dimulakan dengan program Kelantan Berselawat sebelum diakhiri upacara bunga api.

"Kita berharap rakyat Kelantan dapat hadir beramai-ramai pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari berkata, empat negeri di bawah pemerintahan PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Bagaimanapun selepas menerima kritikan banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara itu hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Mohd Nassuruddin (duduk, kiri) diringi EXCO pada sidang media selepas mesyuarat EXCO. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Nassuruddin (duduk, kiri) diringi EXCO pada sidang media selepas mesyuarat EXCO. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 1:57 PM