Siti Aminah Mohd Yusof


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memaklumkan pergerakan harga purata membabitkan 10 jenis sayuran di negeri ini merekodkan kenaikan serendah 3.85 peratus hingga 71.43 peratus berdasarkan pemantauan pada 1 Februari berbanding sebelumnya.

Pengarahnya S Jegan, berkata daripada 41 jenis sayuran yang dipantau setiap hari itu, 10 daripadanya iaitu tomato merekodkan kenaikan antara 6.58 peratus hingga 71.43 peratus, timun 4.18 peratus hingga 40 peratus, bendi 3.85 peratus hingga 60 peratus dan sawi 7.69 peratus hingga 50.25 peratus setiap kilogram (kg).

Katanya, berdasarkan pemantauan terhadap 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya membabitkan 186 barangan, KPDN negeri turut mendapati terdapat 10 jenis barangan mengalami penurunan harga dalam tempoh itu antaranya kubis bulat 10.02 peratus hingga 20.04 peratus, brokoli 7.69 peratus hingga 23.08 peratus, kacang buncis 6.67 peratus hingga 14.29 peratus dan timun 9.09 peratus hingga 16.09 peratus bagi setiap kg.

"Kita memang turun padang setiap hari tidak kira cuti umum atau Sabtu Ahad untuk mendapatkan maklumat harga yang akan dikemaskini dalam aplikasi Price Catcher untuk perbandingan harga terendah dan segala maklumat berkaitan.

"Jadi secara spesifik, pegawai kita menjalankan siasatan dan hasil pemantauan sehingga kini mendapati harga runcit bagi enam sayuran terpilih pada hari ini meliputi bendi ialah RM10 hingga RM15, buncis RM14 hingga RM18, kacang panjang RM10 hingga RM12 dan tomato RM11 hingga RM14 per kg," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

S Jegan
S Jegan

Beliau berkata demikian mengulas aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa harga sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan lalu.

Jegan berkata, pihaknya turut khuatir peningkatan kadar yang dinyatakan itu kurang tepat dan berkemungkinan terdapat kekeliruan dalam perbandingan harga membabitkan sayuran organik misalnya seperti lobak organik yang mencecah RM24 dan tomato organik RM20 per kg.

"Jadi untuk segmen sayuran ini kita akui harga tinggi tetapi tanaman tempatan yang lain memang ada berlaku sedikit peningkatan akibat faktor cuaca tetapi peningkatan yang berlaku tidak ketara seperti didakwa sehingga mencapai 160 peratus.

"Berdasarkan tinjauan yang dilakukan kita takut ada kekeliruan wujud yang mana harga tanaman organik diambil serta dibandingkan dengan tanaman tempatan dan jika itu berlaku sememangnya akan menunjukkan perbezaan besar," katanya.

Semalam, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, dalam satu kenyataan media berkata pihaknya turut menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa bahawa pengedar dan pemborong turut memberi amaran bahawa harga sayur dijangka akan meningkat beberapa minggu akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:45 PM