GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan sebanyak 34 surat pemberitahuan menurunkan harga ayam kepada peniaga di negeri itu, minggu lalu.

Pengarahnya Adnan Abd Rahman berkata, surat pemberitahuan itu dikeluarkan sebagai pendekatan secara lembut kepada peniaga supaya menurunkan harga ke paras yang munasabah.

"Sebanyak 34 surat pemberitahuan telah dikeluarkan dan hasilnya 33 peniaga bersetuju untuk menurunkan harga sekitar 10 hingga 50 sen bagi setiap kilogram," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, surat itu juga dikeluarkan sebagai satu tindakan pemantauan kedudukan harga dan peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya agar isu kenaikan harga ayam yang tinggi di pasaran dapat ditangani.

"Pihak kami membuat pemantauan serta pemeriksaan harga ayam secara menyeluruh di seluruh Kelantan. Kami melakukan pemantauan ke atas semua peringkat rantaian pengedaran ayam termasuk peruncit, pemborong dan penternak," katanya.

Adnan berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat peniaga ayam menjual di bawah harga RM9.50 dan terdapat juga beberapa premis yang menawarkan harga lebih rendah bergantung kepada harga bekalan yang diperoleh.

"Pemeriksaan di Kota Bharu mendapati harga jualan ayam tertinggi dikesan di Pasar Awam Ketereh dengan harga jualan runcit RM9.50, namun harga tersebut telah diturunkan 50 sen selepas pendekatan baharu tersebut digunakan.

"Kami turut mendapati harga jualan runcit ayam standard terendah iaitu pada harga RM7.90 sekilogram. Penurunan harga ini menunjukkan komitmen antara peruncit, pemborong serta penternak berikutan keluhan pengguna dan hasil pemeriksaan serta penguatkuasaan yang dijalankan oleh KPDNHEP Kelantan," katanya.

Katanya, KPDNHEP Kelantan akan sentiasa memantau bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga dan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan aplikasi Price Catcher untuk membuat perbandingan harga barang-barang keperluan di tempat masing-masing bagi penjimatan dan merancang pembelian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:28 PM