MOHD Nassuruddin menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut di Masjid Kota, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD Nassuruddin menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut di Masjid Kota, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menafikan dakwaan beliau melabel calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Kota Lama, sebagai melawan perjuangan Islam.

Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa dalam ucapan berkenaan, beliau menyebut sebagai perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagai mana yang didakwa kedua-dua calon terbabit.

Katanya, mereka boleh menyemak semula apa yang disebut pada ucapannya kerana menyifatkan perkataan 'melawan' Islam dan 'memperjuangkan' Islam adalah dua perkara berbeza.

"Jangan cuba pusing atau kelirukan apa yang saya sebut, tambahan pula ucapan yang saya sampaikan adalah dalam bahasa Melayu Kelantan yang jelas mudah difahami.

"Jadi jangan buat kenyataan yang bukan-bukan, sedangkan kita sendiri kurang faham dengan ucapan yang disampaikan oleh seseorang. Selain itu, dalam dunia politik kita tidak boleh mudah 'koyak'.

"Tak ada orang yang akan meminta maaf kalau tidak melakukan kesalahan dan saya sendiri masih belum menerima notis berkenaan isu ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut di Masjid Kampung Kota, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua calon BN dan PH yang menang di DUN Kota Lama dan Galas, memberi tempoh tujuh hari kepada Mohd Nassuruddin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang melabel dua calon berkenaan menolak perjuangan Islam.

Calon yang memenangi DUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan DUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan kenyataan Adun Meranti itu sangat keterlaluan.

Mohd Syahbuddin berkata, kegagalan Menteri Besar untuk membuat permohonan maaf secara terbuka akan mengundang susulan kepada tindakan undang-undang iaitu memfailkan saman sivil di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:52 PM