MOHD Nassuruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.
MOHD Nassuruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Wakil rakyat pembangkang di Kelantan tidak mendapat peruntukan lain daripada kerajaan negeri selain daripada Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) yang berjumlah RM250,000.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan RKP sudah pun disalurkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa ADUN pembangkang turut menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Malah jumlah peruntukan yang diterima oleh ADUN pembangkang daripada Kerajaan Pusat dikatakan lebih besar daripada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

"Setakat ini kita umum RKP (beri semua ADUN). Kita dimaklumkan ADUN pembangkang terima peruntukan lebih besar daripada Kerajaan Pusat berbanding apa (peruntukan) yang diberikan oleh kerajaan negeri.

"Kalau kita beri semua sama bermakna akan jadi tidak adil kerana ADUN kerajaan negeri tidak menerima peruntukan daripada pusat," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Syahbuddin Hashim (Galas-BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau yang juga ADUN Meranti berkata, situasi mungkin berbeza sekiranya dua ADUN pembangkang (Galas dan Kota Lama) tidak menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat beri lebih banyak dan kerajaan negeri pula beri. Boleh jadi peruntukan diterima ADUN pembangkang lebih besar daripada Exco kerajaan negeri.

"Kecuali kalau ADUN pembangkang tidak menerima peruntukan daripada pusat. Itu kita boleh bincang," katanya.

Untuk rekod, daripada 45 ADUN di Kelantan, dua adalah daripada pembangkang iaitu ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 11:28 AM