Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Alumni 4B Malaysia menyanggah perbuatan Pemuda Umno yang disifatkan cuba 'tunjuk hero' kerana memberi amaran kepada kepemimpinan Umno secara terang-terangan.

Presiden Persatuan Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir berkata, Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan menentang kepimpinan sebaliknya perlu menggunakan saluran mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Sebagai Ketua Pemuda, dia (Akmal) bawalah berbincang di peringkat MKT. Jangan nak tunjuk hero buat perhimpunan dan bercakap pasal Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Dia berhak dan boleh bercakap semasa mesyuarat MKT, jadi tidak sepatutnya dia bercakap sebegitu di luar daripada 'kotak' MKT.

"Kita tidak boleh menuding jari pada Presiden seorang saja kerana setiap pemimpin di semua peringkat termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri perlu bertanggungjawab bersama-sama," katanya ketika sidang media sempena Mesyuarat Agung tahunan persatuan itu di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Justeru itu, katanya, Persatuan Alumni 4B Malaysia akan mengusulkan satu resolusi khas pada pagi ini untuk menyokong Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden Umno.

Kelmarin, Muhammad Akmal dilaporkan berkata, sayap pergerakan parti itu akan bertindak lebih agresif jika suara mereka terus 'dibakul sampahkan' oleh kepemimpinan Umno selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Syed Azmi berkata, pihaknya tidak mahu wujud keadaan kucar-kacir di dalam Umno.

"Maka sebagai NGO, kita akan buat resolusi pagi Sabtu (hari ini) dan diluluskan, Insya-Allah kita akan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Perasmian mesyuarat berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Alumni 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berharap, Alumni 4B dapat terus membantu mempergiatkan lagi usaha memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama Gerakan Belia 4B di seluruh negara dalam mengukuhkan semangat berpersatuan.

Katanya, kesinambungan itu penting, supaya generasi muda Gerakan Belia 4B baik di cawangan, kawasan dan negeri lebih terarah dan dapat dipandu dengan dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:36 AM