SAARANI melambaikan tangan pada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Perjumpaan Menteri Besar Perak bersama Adun kerajaan negeri Perak di  Ipoh. FOTO L Manimaran
SAARANI melambaikan tangan pada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Perjumpaan Menteri Besar Perak bersama Adun kerajaan negeri Perak di Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui wujud gerakan pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, khabar angin yang tersebar sejak beberapa bulan lalu mengenai gerakan menukar kerajaan negeri sedia ada bukan sekadar 'cakap-cakap' atau omongan kosong.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, gerakan itu masih berusaha memujuk sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) bagi memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.

"Dalam pengetahuan kita, memang ada gerakan itu, bukan setakat mereka sekadar mengeluarkan kenyataan akhbar.

"Nampaknya mereka tak berpuas hati dengan keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) sebab dia mengharapkan jika PN dapat merampas enam negeri bermakna dia nak gambarkan satu gelombang baru penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, tetapi itu tak berlaku.

"Begitu juga dengan konteks di Perak yang dalam pengetahuan kita, memang ada gerakan itu dan sebab itulah kita berjumpa beramai-ramai kerana kita tak mahu ada antara 33 Adun kerajaan yang saling syak wasangka antara satu sama lain.

"Sebab dengan cara dia 'spark' (cetus) itu, dengan sendirinya mungkin mengundang rasa syak wasangka dalam kalangan rakan-rakan Adun kerajaan, jadi ianya tidak cantik sebegitu. Biar mata berpandangan, budi kedapatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Sesi Perjumpaan Menteri Besar Perak bersama Adun kerajaan negeri Perak, di sini, petang semalam.

Sesi perjumpaan itu bagi menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan Perak berikutan terdapat usaha pihak tertentu menimbulkan persepsi kononnya akan berlaku perubahan kerajaan susulan keputusan PRN, baru-baru ini.

Empat Adun tidak hadir iaitu Adun Kepayang, Nga Kor Ming; Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat); Loh Sze Yee (Jalong); dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Hulu Kinta), namun menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan Perak.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar angin yang tersebar sejak lebih tiga bulan lalu mengenai empat Adun Perak yang dipujuk bagi meletak jawatan untuk membolehkan proses pertukaran kerajaan negeri berlangsung, Saarani berkata, beliau tidak mengetahui siapa Adun terbabit.

"Saya berjumpa semua orang (Adun) seperti hari ini (semalam), bukan empat orang sahaja sebab kita tak tahu siapa mereka (Adun) itu.

"Cuma yang kita tahu dalam kepala mereka sejak dahulu lagi, mereka kata perlukan empat Adun sahaja, yang tak semestinya daripada BN dan tak semestinya daripada PH," katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan Saarani menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung 'keputusan besar' jika Menteri Besar Negeri Sembilan tidak dilantik dalam kalangan wakil rakyat BN pasca PRN seperti tersebar dalam poster yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 10:47 AM