Norzamira Che Noh


Shah Alam: Beberapa kawasan di Seksyen 13, di sini, dinaiki air selepas hujan lebat kira-kira 3 petang ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, air mula naik antara 3.40 sehingga 4.37 petang.

"Antara kawasan yang dikesan terjejas adalah Bulatan Stadium menghala ke Pangsapuri Acapella; persimpangan lampu isyarat di jalan berhampiran Surau Munawwarah; ;lampu isyarat di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, jalan MSU lama dan kawasan sekitar Pangsapuri Perdana.

"Bagaimanapun, keadaan kini terkawal dan hujan sudah berhenti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, rakaman video beberapa lokasi di Seksyen 13 dinaiki air mula tersebar di media sosial.

Menerusi satu rakaman, kawasan komersial di situ dinaiki sehingga hampir menenggelamkan tayar kereta yang diparkir berdekatan sebuah restoran.

Bagaimanapun, laluan berkenaan masih boleh dilalui selepas beberapa orang awam dilihat memandu keluar kereta masing-masing dari kawasan itu.

BEBERAPA laluan di Seksyen 13, Shah Alam dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sekitar jam 3 petang hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
BEBERAPA laluan di Seksyen 13, Shah Alam dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sekitar jam 3 petang hari ini. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 5:54 PM