Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kegusaran lapan pemilik kediaman termasuk peniaga yang terbabit dengan pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang tidak memperoleh pampasan berakhir apabila mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, di sini, semalam.

Dalam pertemuan hampir satu jam, calon BN DUN Paloh, Amran Arifin turut membawa Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bertemu peniaga yang terjejas.

Amran berkata, usaha itu bagi membantu peniaga terjejas supaya mendapat hak mereka yang sudah membuka perniagaan dan tinggal di kawasan itu hampir 40 tahun.

Katanya, beliau berharap Kerajaan Madani dapat mempertimbangkan pampasan yang sewajarnya kepada lapan pemilik premis.

"Terima kasih Timbalan Menteri Kerja Raya yang sudi mendengar luahan dan keluhan secara langsung daripada pemilik premis yang terbabit dalam pelaksanaan projek LTU pakej 2A yang menghubungkan Paloh 2 ke Sungai Lakit.

"Saya kira perkara ini akan dapat diselesaikan dan kita pun sama-sama mendengar dengan jelas bahawa proses pengambilan tanah ini bukanlah satu jangka masa yang cepat dapat diselesaikan. Kita mewakili penduduk memohon supaya pampasan dapat diberikan walaupun proses itu mengambil masa.

"Ia mengambil kira mereka sudah mendiami premis ini ada sehingga 40 tahun," katanya ketika ditemui di Paloh 2, di sini, semalam.

Pemilik kediaman, Hamidah Yaakob, 68, melahirkan rasa lega apabila masalah yang dihadapi mereka mendapat perhatian Timbalan Menteri.

"Saya sudah tinggal di sini sejak lebih 40 tahun. Jika rumah dirobohkan untuk pembinaan jalan, ke mana lagi kami nak tinggal. Malah, rumah sudah dibaik pulih dengan duit yang dikumpulkan anak-anak.

"Alhamdulillah, kegusaran sejak sebulan lalu berakhir dengan pertemuan bersama Timbalan Menteri. Sukalah kita sebab ada orang nak tolong orang susah, dapat bagi tempat biarlah kecil tak apa asal boleh duduk" katanya.

Peniaga kedai makan, Mohd Sopian Che Seman, 46, merayu supaya nasib lapan peniaga yang terjejas dengan pembinaan LTU mendapat perhatian kerajaan.

"Kami minta simpati daripada kerajaan untuk bantu supaya mendapat tempat tinggal dan pampasan yang sepatutnya. Kita amat memerlukan kerana kami daripada keluarga yang susah.

"Notis memang tak pernah dapat lagi setakat ini cuma mesin (jentera berat) sudah ada bekerja di tepi rumah. Jadi itu yang kita risau. Jika rumah kami terbabit dengan pembinaan jalan, tanpa pampasan ke mana lagi kami nak tinggal.

"Timbalan menteri cakap akan tolong sedaya-upaya. Insya-Allah dia kata ada maklumat positif untuk kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 4:33 PM
Abdul Rahman Mohamad (dua kanan) bersama Amran (kanan) turun padang bertemu dengan pemilik premis yang terjejas dengan pembinaan LTU di Paloh 2, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Abdul Rahman Mohamad (dua kanan) bersama Amran (kanan) turun padang bertemu dengan pemilik premis yang terjejas dengan pembinaan LTU di Paloh 2, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya