Menara telekomunikasi yang didakwa dibina tanpa kelulusan di Pusat Perniagaan Manjung Point 3, Seri Manjung.  FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Menara telekomunikasi yang didakwa dibina tanpa kelulusan di Pusat Perniagaan Manjung Point 3, Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Menara telekomunikasi dibina tanpa kelulusan pihak berkaitan di Pusat Perniagaan Manjung Point 3 berhampiran AEON Seri Manjung, Manjung.

Kewujudan menara itu membuat penduduk sekitar kawasan itu bimbang dari segi keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Adzuan Abdullah berkata, mereka sudah menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) beberapa minggu lalu supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Katanya, menjadi persoalan sama ada struktur yang didirikan itu sah dan dia juga mahu tahu nama syarikat dan kontraktor yang terbabit dalam memasang struktur itu.

"Jika pihak MPM gagal berhubung dengan mereka dalam masa dua minggu, penduduk akan membawa perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Seorang peniaga Azwan Ashaari, 26, berkata, baginya menara itu tidak mendatangkan gangguan namun ia tetap menjadi satu kesalahan jika pembinaannya tidak mendapat kelulusan pihak berkaitan.

"Jika tiada menara pemancar telekomunikasi memang masalah kerana ia satu keperluan cuma apabila ia membabitkan pembinaan tanpa kelulusan ia adalah satu kesalahan kerana dibimbangi akan berlaku perkara tak diingini.

"Sebagai penduduk apa yang kita mahukan ada kemudahan yang mendapat kebenaran pembinaan oleh pihak berkuasa supaya masalah lain dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati notis sudah diletakan di menara itu yang menyatakan struktur telekomunikasi berkenaan dibina tanpa kelulusan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPM Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pembinaan menara itu tidak mendapat kebenaran MPM.

Katanya, sehubungan itu satu notis mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 sudah dikeluarkan kepada pemilik tanah pada 25 September lalu namun gagal dipatuhi.

"MPM sekali lagi mengeluarkan notis peringatan terakhir pada Jumaat lalu (10 November) dan jika ia masih gagal dipatuhi MPM boleh mengambil tindakan mahkamah atau merobohkan binaan berkenaan yang mana kos akan ditanggung oleh pemilik,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 12:05 AM